PAPAR – One Health Student Club (OHSC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat U-Science UMS dan Kementerian Sains dan Teknologi Sabah melancarkan program ‘Professor@School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, baru-baru ini.
Program tersebut bertujuan membimbing pelajar sekolah untuk memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.
Menurut penasihat OHSC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, pelbagai program dirancang dan ianya akan dijalankan selama empat tahun dengan melibatkan pelajar OHSC UMS daripada pelbagai jurusan sebagai mentor kepada pelajar sekolah yang terpilih.
Katanya, pendekatan tersebut bertujuan memberikan pendedahan, inspirasi, dan bimbingan kepada para pelajar sekolah agar mereka lebih bersedia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang STEM.
“Kami mahu menunjukkan kepada mereka bahawa STEM bukan sahaja menarik tetapi juga membuka peluang besar untuk masa hadapan. Dengan bantuan mentor, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana teori diterapkan dalam dunia sebenar.
“Dengan kerjasama erat antara OHSC UMS dan pihak sekolah, program Professor@School dijangka mampu memberi impak yang signifikan kepada pelajar sekolah dan masa depan mereka dalam dunia STEM,” jelasnya.
Pengetua SMK Majakir Papar, Zuraidah Salleh yang merasmikan program ni berharap lebih 80 peratus pelajar yang terpilih
untuk program tersebut akan memilih bidang STEM sebagai hala tuju kerjaya masing-masing.
“Program ini adalah peluang luar biasa untuk mendedahkan pelajar kepada dunia STEM melalui bimbingan yang berterusan,” katanya.
Program Professor@School melibatkan sesi bimbingan secara berkala, aktiviti hands-on, ceramah motivasi, dan lawatan ke makmal serta fakulti di UMS.
Pendekatan mentor-mentee ini dirangka untuk membina hubungan yang kukuh antara pelajar sekolah dan pelajar universiti, sekali gus mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif dan menyokong.- MalaysiaGazette