KUALA LUMPUR – Pesilat negara, Siti Shazwana Ajak mencipta sensasi apabila menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 dalam kategori Putri D (60-65kg) di Abu Dhabi, kelmarin.
Beliau melakar sejarah indah buat negara dengan menumbangkan pesilat dari Thailand sekali gus melayakkannya membawa pulang pingat emas dan muncul antara juara dunia di kejohanan yang disertai 55 negara dari seluruh dunia berlangsung dari 18 hingga 22 Disember.
“Kejohanan Dunia kali ini merupakan penampilan saya yang ketiga. Alhamdulillah, misi memburu pingat emas dapat direalisasikan. Sebelum ini saya hanya meraih pingat gangsa dan perak di edisi kejohanan dunia pada 2018 dan 2022
“Emas kali ini sangat bermakna untuk saya kerana, perjuangan ini bukan saja untuk diri sendiri tapi buat arwah mak, keluarga, jurulatih dan semua yang banyak membantu saya sepanjang persiapan ke kejohanan,” katanya
Menyingkap perjuangannya, pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Awam) UUM ini berdepan cabaran getir kerana undian yang diperoleh lebih kepada negara yang kuat dalam seni silat.
Namun, beliau konsisten menampilkan aksi luar biasa dalam setiap pusingan dengan menewaskan pesilat Vietnam di suku akhir sebelum membenamkan pesilat Indonesia di separuh akhir.
Dalam tiga perlawanan, paling sengit adalah Indonesia.
Seterusnya bertemu dengan Thailand, lawan yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan strategi, namun dengan kepantasan, ketepatan dan kekuatan mental yang luar biasa, Siti Shazwana atau lebih mesra disapa Wana berjaya mengatasi cabaran tersebut.
“Kejayaan ini menjadi bukti betapa pentingnya latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar impian,” katanya.
Jelasnya, silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang perlu ada dalam diri seseorang memandangkan tekniknya mudah dipelajari dan sangat efektif untuk digunakan dalam saat yang tidak dijangka untuk mempertahankan diri.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini memberi inspirasi kepada semua atlet muda di Malaysia untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan yang amat membanggakan kemenangan ini bukan sahaja kemenangan peribadi, tetapi juga simbol semangat juang bangsa Malaysia.
“Dengan kemenangan ini, Wana telah membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan membawa pulang pingat emas yang membanggakan,” katanya.- MalaysiaGazette