TANGKAK – Seorang wanita kerugian RM70,000 selepas diperdaya scammer yang menyamar anggota polis mendakwanya terlibat dalam penggubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, semuanya bermula apabila mangsa yang berusia 55 tahun menerima panggilan telefon pada 18 September lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai polis.
“Panggilan kemudian disambungkan ke Balai Polis Ampang dan mangsa diberitahu terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
“Mangsa diminta untuk mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek atas akaun miliknya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa tidak melakukan sebarang transaksi atau pembayaran namun apabila melakukan semakan akaun miliknya kelmarin, mendapati wang simpanan sudah berkurangan.
Menurutnya, mangsa menyedari menjadi mangsa scammer menerusi modus operandi panggilan telefon tersebut sebelum membuat laporan polis pada hari yang sama.
Roslan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat serta didenda.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penyamaran dalam talian.
Orang ramai diseru membuat semakan terlebih dahulu atas sesuatu panggilan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini scam melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun.- MalaysiaGazette