Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita asing

kerugian lebih RM175,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud pada Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku apabila mangsa tertarik dengan iklan dalam Facebook sebelum berhubung dengan suspek yang mengaku dirinya sebagai perunding pelaburan saham.

“Suspek mengajak mangsa menyertai pelaburan dan menjanjikan keuntungan lumayan dalam waktu singkat.

“Mangsa yang merupakan pesara pengurus syarikat swasta berusia 54 tahun berminat dan mendaftar untuk menyertai pelaburan berkenaan serta diminta membuat pembayaran modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa melakukan tujuh transaksi ke dalam tiga akaun berbeza antara 30 Oktober hingga 10 Disember lalu dengan nilai keseluruhan melebihi RM175,000.

Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta untuk melakukan bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan.

Raub memberitahu, hasil siasatan polis menggunakan akaun Semak Mule mendapati, ketiga-tiga akaun bank terbabit mempunyai 35 rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda antara RM10,000 dan RM100,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengambil langkah melakukan semakan kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Securiti Malaysia.

“Elakkan memberikan maklumat atau perbankan kepada pihak yang tidak dikenali. Jangan terpedaya dengan janji keuntungan dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Raub juga mengingatkan supaya menggunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun yang mencurigakan sebelum melakukan transaksi.

Tambah beliau, orang ramai diseru mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil (JSJK) seperti Facebook Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersil.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC)  menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here