KUALA LUMPUR – Doktor yang merawat mata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas cedera ditumbuk ketika dalam penjara pada tahun 1998, Datuk Dr. Ahmad Shukri Mohamed telah meninggal dunia.
Berita duka pemergian Dr. Ahmad Shukri itu dikongsi oleh Perdana Menteri dalam media sosialnya.
Menurut Anwar, pakar mata itu tampil sebagai saksi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kecederaan matanya ketika berada di dalam penjara.
Menurut beliau, jasa dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Dr. Ahmad Shukri akan sentiasa dalam ingatannya.
“Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka pemergian kenalan keluarga, Dato’ Dr Ahmad Shukri Mohamed. Almarhum adalah pakar mata yang telah memberi rawatan kepada saya tatkala dibantai di dalam tahanan polis pada tahun 1998.
“Almarhum juga antara yang tampil sebagai saksi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menafikan tohmahan kononnya saya telah mencederakan diri sendiri.
“Jasa dan keikhlasan Almarhum akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Mendoakan keluarganya diberi kekuatan dan semoga Allah mengampunkan dosa Alhmarhum, Insya-Allah. Al-Fatihah,” kata Anwar.-MalaysiaGazette