Lee Lam Thye
Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat pengangkutan berat yang didapati mengambil sikap sambil lewa terhadap jentera-jentera yang digunakan oleh operator di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa pengguna lain.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap perkara itu kerana trend kemalangan melibatkan jentera berat termasuk kenderaan pengangkutan awam ketika ini  semakin membimbangkan.

Beliau yang bersedih dengan kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di Melaka kelmarin memberitahu, perkara seperti itu boleh dielakkan sekiranya penguatkuasaan lebih tegas diambil terhadap semua pihak termasuk majikan syarikat pengangkutan kenderaan berat dan awam.

“Insiden yang belaku di Melaka itu amat tragik dan tragedi itu boleh dielakkan sekiranya semua pihak komited terhadap aspek keselamatan jalan raya.

“Saya rasa amat sedih dengan apa yang berlaku dan ia sememangnya sesuatu yang amat membimbangkan. Ini memberikan kepada kita satu gambaran insiden seperti itu tidak boleh lagi dipandang ringan dan sesuatu yang lebih tegas perlu dilakukan segera,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula akta berkaitan jalan raya termasuk penguatkuasaan undang-undang mengenainya agar lebih efektif.

Katanya, langkah itu ia perlu dilakukan secara serius demi mencapai matlamat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan dalam kategori tersebut.

“Saya rasa banyak kempen telah dibuat, nampaknya tidak berhasil. Ini terjadi disebabkan beberapa faktor iaitu sikap pemandu sendiri, selain majikan yang ambil berkenaan aspek keselamatan terhadap kenderaan yang digunakan oleh operator mereka.

“Saya boleh nyatakan, bila saya gunakan jalan raya saya nampak banyak kenderaan berat yang begitu laju…memang mereka ini tidak ikut peraturan, tak ikut had kelajuan ditetapkan.

“Mungkin mereka (pemandu) tahu kenderaan yang dipandu mempunyai masalah tetapi, disebabkan majikan tidak ambil endah mereka pun tidak ambil peduli terhadap aspek keselamatan.

“Akhirnya, terjadilah apa yang berlaku di Melaka itu hingga ada nyawa yang terkorban dan ini merupakan satu berita sedih di penghujung tahun yang sebenarnya boleh dielakkan,” ujarnya.

Lam Thye turut mencadangkan agar pihak berkuasa menggunakan teknologi terkini seperti pengunaan kecerdasan buatan (AI) ataupun dron di kawasan-kawasan yang ditentukan berisiko tinggi terlibat kemalangan sebagai langkah pemantauan.

Jelasnya, jika kaedah seperti itu dilakukan ia akan memudahkan tindakan diambil terhadap pesalah jalan raya  terutama melibatkan kenderaan berat kerana mereka tidak boleh lagi lari atau memberikan pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri.

“Kalau teknologi yang ada kita manfaatkan, sudah pasti langkah penyelesaian dapat kita ambil sekaligus matlamat mengurangkan kadar kemalangan hingga meragut banyak dalam satu nahas boleh dicapai,” ujarnya.

Dalam insiden malam kelmarin, tujuh individu terkorban manakala, 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, susulan kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan yang berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza.

Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala, tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Semua kenderaan terlibat telah di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here