HSI baru-baru ini mengadakan lawatan ke Vechta, Jerman yang dianjurkan bersama peneraju global dalam teknologi perternakan negara itu, Big Dutchman.

KUALA LUMPUR – Humane Society International (HSI) bekerjasama dengan pemain industri, pemegang taruh dan penternak bagi membangunkan piawaan kebangsaan yang menjadi asas kepada pengawalseliaan industri pengeluaran telur bebas sangkar di Malaysia.

Penasihat Kanan Kebajikan Haiwan Ladang, Dasar dan Penglibatan Korporar HSI, Dr Saravanakumar S. Pillai berkata, garis panduan akan merangkumi penternakan anak ayam dan ayam penelur bebas sangkar untuk meningkatkan daya saing industri penternakan tempatan itu di peringkat global.

Peraturan itu bukan sahaja dapat menjamin aspek kebajikan haiwan tetapi juga membuka peluang kepada pengeluar tempatan untuk memenuhi permintaan pasaran bernilai tinggi ke luar negara terutamanya ke Eropah dan Amerika Syarikat.

“HSI yakin garis panduan ini dapat membantu mempercepatkan peralihan Malaysia kepada sistem pengeluaran telur bebas sebagai peluang strategik peringkat global.

“Dengan pelaksanaan piawaian ini, pengusaha tempatan dijangka dapat mengurangkan kos operasi jangka panjang, meningkatkan produktiviti dan memperluaskan pasaran mereka yang akhirnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, HSI baru-baru ini mengadakan lawatan ke Vechta, Jerman yang dianjurkan bersama peneraju global dalam teknologi perternakan negara itu, Big Dutchman.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha berterusan HSI dalam  mendorong Malaysia ke arah pengeluaran telur bebas sangkar yang lestari dan beretika selain memberikan pendedahan langsung kepada pemegang taruh mengenai penternakan yang mesra kebajikan.

Mengulas lanjut, Saravanakumar turut mengumumkan HSI juga dalam perancangan menganjurkan bengkel bersama dengan syarikat serta pemegang taruh yang mempunyai komitmen untuk menggunakan sepenuhnya telur bebas ayam menjelang tahun 2025.

Bengkel itu dijadualkan pada suku tahun pertama tahun depan, dengan memberi tumpuan kepada penilaian awal serta cabaran syarikat-syarikat berkenaan dalam proses berkenaan.

“HSI juga akan menyediakan strategi selari dengan permasalahan serta penyelesaian kepada pelaksanaan berskala besar itu,” ujarnya.

Sementara itu, Bendahari Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia, Meor Ezree Syazrin Meor Abdul Ghani berkata, pihaknya komited menyokong penyelesaian penternakan inovatif dan mesra kebajikan menerusi kerjasama pemain industri serta syarikat global seperti Big Dutchman.

“Sistem canggih yang ditunjukkan Big Dutchman ketika lawatan ini membuktikan bagaimana teknologi dan kebajikan haiwan boleh bergerak seiring untuk mewujudkan sektor pertanian yang lestari dan produktif,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Pengurus Liang Kee Farming, Tan Leng Yee menyatakan keterujaan untuk mengintegrasikan penyelesaian yang dipamerkan ketika lawatan itu bagi meningkatkan produktiviti pengoperasian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here