Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu di Kepulauan Russkiy, Vladivostok pada September 2024. foto Facebook Anwar Ibrahim

Oleh: Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli & Mukhlis Mohsin 

150 tahun yang lalu, seorang pengembara Rusia telah ke  Semenanjung Melayu, bukan dengan niat untuk menjajah wilayah ini, tetapi untuk menjalankan ekspedisi saintifik. Dalam tahun 1870an, NN Miklukho-Maklai tiba di Johor untuk menjalankan pengembaraannya di alam Melayu.

Pada saat itu, Johor masih lagi sebuah negara merdeka yang berdaulat di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda mendukung usaha Maklai dengan mengeluarkan surat sokongan dan memberikan bantuan dalam pengelolaan misi saintifiknya.
Bermula 1914, seluruh Malaya telah berada di bawah kekuasaan British sebelum penjajahan Jepun pada 1941. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan kemudiannya membentuk Malaysia pada 1963.

Malaysia tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Kesatuan Soviet pada 1968. Walau bagaimanapun, Perang Dingin masih berterusan ketika itu di mana filem-filem Hollywood seringkali menggambarkan Rusia sebagai penjahat seperti mana mereka turut menggambarkan India, Pakistan dan Iran sebagai tidak membangun dan
miskin. Negara-negara ini tidaklah seburuk seperti yang dicanangkan oleh media berhaluan kanan Amerika. Begitu juga dengan Rusia.

Kebanyakan rakyat Malaysia lebih terbiasa untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan dengan negara-negara Barat. Malah sehingga sekarang menurut ICEF Monitor, mahasiswa Malaysia yang menyambung pelajaran keluar negara lebih memilih negara seperti United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jepun.

Pada masa kini, semakin ramai rakyat Malaysia yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke Rusia. Oleh itu, Rusia telah menggadakan jumlah penawaran biasiswa kepada mahasiswa Malaysia.

Rusia adalah salah sebuah negara adikuasa dunia dengan potensi ekonomi yang besar. Berdasarkan laporan dari Bernama, jumlah keseluruhan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia telah meningkat sebanyak 15.6% kepada RM14.22 billion pada 2023 ketimbang RM12.3 billion pada 2022. Usaha kerajaan semasa dalam meningkatkan hubungan dengan Rusia wajar dipuji.

Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vladivostok pada September yang lalu telah membuka peluang dan prospek kepada kedua-dua negara untuk bekerjasama dengan lebih dekat. Ini dikuatkan lagi dengan penerimaan Malaysia sebagai rakan (walaupun bukan penyertaan penuh sebagai ahli) ke dalam BRICS.

Keberkecualian Rusia dalam isu Laut China Selatan wajar dihormati. Sungguhpun Rusia seperti negara-negara maritim yang lain mengangkat kebebasan pelayaran mencakupi kebebasan lintas udara dan penyelesaian konflik dengan cara damai antara pihak-pihak dengan mengambil kira dasar undang-undang antarabangsa.

Malaysia membantah tuntutan Sembilan Garis Putus China dan pendiriannya dalam menuntut kedaulatan dan hak berdaulat ke atas Laut China Selatan. Bagaimanapun, Malaysia terus komited dalam usaha perundingan berkaitan Laut China Selatan dengan tujuan untuk mewujudkan kod tatakelakuan daripada dialog yang konstruktif dan juga perbincangan yang selari dengan lunas undang-undang antarabangsa.

Sepertimana Malaysia, Rusia juga mengalukan-alukan usaha mewujudkan kod tata kelakuan di Laut China Selatan. Ini menunjukkan Malaysia perlu merapatkan lagi hubungan bukan sahaja dengan Barat dan China, malah juga dengan Rusia.
Malaysia mengakui kepentingan Rusia sebagai rakan strategik.

Hubungan yang diperkukuhkan antara Malaysia-Rusia adalah sebuah anjakan kepada Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh diplomatiknya di peringkat antarabangsa.

Penulis adalah pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia. Manakala Mukhlis Mohsin adalah penolong penyelidik di USIM.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here