Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersedia untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil kesemua pihak yang terlibat dalam urus niaga Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) merupakan satu langkah tepat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, prosiding PAC berupaya memperoleh keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu yang terlibat dalam membuat keputusan penjualan saham MAHB kepada pihak luar.

Tegasnya, MAHB adalah salah satu aset strategik negara yang utama dan amat penting untuk dikekalkan statusnya sebagai syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tata kelola yang baik.

“Kandungan Independent Advice Circular (IAC) bertarikh 20 Disember 2024 berkaitan penjualan saham MAHB mendedahkan  semua lima orang Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut dan mereka mensyorkan kepada para pemegang saham menolak tawaran pembelian saham tersebut.

“Berdasarkan rekod, bilangan penumpang yang dikendalikan oleh MAHB Group sehingga September 2024 telah mencecah 101.2 juta penumpang.

“Pendapatan MAHB Group juga meningkat 20.3 peratus kepada RM4.26 billion sehingga September 2024 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2023.

“Keuntungan selepas cukai juga melonjak sebanyak 137 peratus kepada RM606.3 juta sehingga September 2024 berbanding September 2023,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipetik berkata, PAC akan menyiasat pengurusan lapangan terbang, termasuk cadangan pengambilalihan MAHB.

Katanya, ia termasuklah dokumen yang didakwa diperoleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.

Jelas beliau, PAC bercadang memulakan prosiding sebaik sahaja Dewan Rakyat bersidang semula pada awal Februari.

Menurut Mas Ermieyati, sekiranya kerajaan mahu memperlihatkan ketelusan dalam tata kelola pengambilalihan ini, beliau berpandangan lebih baik isu berkenaan diterangkan dengan lebih terperinci dan telus dalam prosiding PAC dan satu laporan dibentangkan di Parlimen sebelum apa-apa tindakan dibuat.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan, penawaran yang dibuat amat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi serta jaringan besar 39 lapangan terbang di bawah MAHB.

Malah katanya, tawaran tersebut  juga tidak mengiktiraf momentum pertumbuhan yang dibina MAHB melalui strategi dan hala tuju yang jelas.

“Ahli Parlimen Perikatan Nasional menentang keras penjualan saham MAHB supaya MAHB kekal sebagai sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.

“Sebagai “angsa emas” dan juga salah satu aset strategik negara yang penting, MAHB mesti kekal menjadi milik rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here