Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan dan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan perkara itu berkata, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari pesawat tetapi pada masa sama harus memastikan penggunaan dana rakyat dilakukan dengan berhemah.

“Selepas lebih sedekad pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum lagi terungkai.

“Pandangan saya, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari MH370 tetapi pada masa sama memastikan nilai terbaik dalam membelanjakan wang rakyat.

“Bukan sahaja keluarga dan waris malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan akan segala persoalan dan justeru itu, keraiaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  menerusi sidang medianya  berkata, Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Katanya, operasi pencarian di dasar laut akan tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan ia berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak ditemukan.

Untuk rekod, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here