Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Langkah interim yang diumumkan Bank Negara berhubung kenaikan premium insurans tidak menyelesaikan punca masalah dan kenaikan harga akan terus berlaku selepas tiga tahun.

Presiden Persatuan Wakil Wakil Insurans Am Malaysia, Chong Kok Wai berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha dan langkah yang diambil Bank Negara, tetapi pihak berkuasa juga perlu menjelaskan langkah jangka panjang yang akan dilaksanakan.

Beliau berkata, kenaikan premium insurans adalah didorong oleh kenaikan kos perubatan hospital swasta dan kerajaan harus mengambil tindakan berhubung isu itu.

“Syarikat insurans menyediakan produk yang murah, tetapi adakah mereka sanggup melakukan urus niaga yang merugikan jika kos perubatan terus meningkat?

“Langkah yang diambil Bank Negara hanya menyasarkan syarikat insurans, tetapi tidak menghalang hospital swasta (menaikkan harga), dan ini tidak menyelesaikan masalah.

“Ia adalah seperti bumbung berlubang, tetapi pemilik rumah hanya cuba menghalang air keluar tanpa membaiki lubang yang ada,” katanya kepada China Press.

Sebelum ini, Bank Negara mengumumkan pelaksanaan langkah interim bagi mengurangkan beban kewangan pemegang polisi insurans, susulan kenaikan pembayaran premium yang mendadak.

Susulan daripadanya, syarikat insurans akan memanjangkan tempoh perubahan premium untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.

Langkah tersebut akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026 untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi insurans mengalami kenaikan premium kurang 10 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here