KUALA LUMPUR – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara berjaya menahan seorang lelaki disyaki memiliki senjata api dan dadah yang dikesan di pekan Rantau Panjang, Kelantan, Ahad lalu.
Tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota BN 9 PGA pada jam lebih kurang 1.30 petang apabila menahan seorang lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
Hasil pemeriksaan mendapati sepucuk pistol tiruan jenis Glock bersama kelopak dan satu plastik peluru airsoft ditemui di tubuh badan suspek tersebut.
Sebanyak 268 biji pil Epam juga turut ditemui dalam beg suspek, katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, barang berkaitan tentera seperti apulet pangkat, baju-T dan patch unit 617 tentera turut dimiliki oleh suspek yang berusia 24 tahun.
Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan lanjut, satu serbuan telah dilakukan ke sebuah rumah di Kampung Kok Batu dan menemui sepucuk lagi pistol tiruan jenis Glock bersama 1 plastik peluru airsoft, 234 biji pil Epam, 8 biji pil kuda dan apulet pangkat tentera.
Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM6,580.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Sek 12(2) serta 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette