MUAR – Seorang lelaki dan seorang wanita maut termasuk seorang daripadanya putus kaki kanan selepas terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 130.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 5.24 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun bersama pembonceng, seorang waita warga Singapura berusia 29 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.
“Ketika tiba ke lokasi kejadian, penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar besi pembahagi jalan di bahagian tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran itu katanya, penunggang motosikal jatuh di lorong kanan lebuh raya arah utara sementara pembonceng tercampak ke laluan bertentangan di lorong kanan lebuh raya arah selatan.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan kanan dan badan sementara pembonceng cedera parah di bahagian kepala, badan serta putus kaki kanan.
Beliau memberitahu, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu selain mematuhi had laju yang ditetapkan di lebuh raya terutamanya ketika musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Pandulah kenderaan secara berhemah serta bertimbang rasa demi keselamatan diri dan kesemua pengguna jalan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette