KUALA LUMPUR – Iran menyifatkan pengakuan Israel yang bertanggungjawab atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sebagai kurang ajar dan tidak tahu malu.
Malah, pembunuhan ke atas Haniyeh, seorang pemimpin politik di wilayah berdaulat adalah satu jenayah keji.
“Pengakuan Israel itu mendedahkan tanggungjawab Israel ke atas tindakan pengganas dan pencerobohannya,” kata kata Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amir Saeid Iravani.
Kenyataan itu dibuat dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, sehari selepas Menteri Pertahanan Israel mengakui negaranya bertanggungjawab atas pembunuhan itu.
Beliau turut menegaskan kesahihan Iran melakukan tindak balas pertahanan Iran pada 1 Oktober 2024 serta pendirian konsisten Iran bahawa rejim penjajah dan pengganas Israel kekal sebagai ancaman paling serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Rejim ini kini bermati-matian cuba untuk membenarkan dan menghalalkan tindakan pencerobohan masa lalu dan masa depannya terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Yaman dengan mereka-reka tuduhan tidak berasas terhadap Iran.
Oleh itu, tulisnya, Majlis Keselamatan tidak boleh membenarkan pengecualian hukuman ke atas rejim itu yang secara terang-terangan menentang undang-undang antarabangsa, menggugat kestabilan rantau ini, dan mengancam serta membahayakan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
“Keheningan berterusan Majlis Keselamatan, yang diamanahkan dengan tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, bukan sahaja akan mendorong rejim pengganas ini menjadi berani untuk melakukan lebih banyak jenayah kejam tetapi juga menjejaskan prinsip teras yang menjadi asas penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegasnya.
Haniyeh terbunuh dalam satu serangan pada 31 Julai 2024 di Tehran semasa beliau melawat Tehran untuk menghadiri majlis perasmian Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian.
Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Katz, secara terbuka dan tanpa segan silu mengakui bahawa rejim Israel bertanggungjawab atas pembunuhan berkenaan. – MalaysiaGazette