MELAKA – Dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam nahas mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini malam Isnin lalu belum dimaklumkan mengenai nasib menimpa ibu bapa mereka.
Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tindakan itu bagi menjaga emosi kanak-kanak berkenaan, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan adiknya, Nur Sofea Humaira, 4.
“Mereka belum tahu lagi (ibu bapa sudah meninggal dunia) walaupun mereka sedar kerana kita tak mahu menganggu emosi mereka yang masih dalam kesakitan.
“Ini kerana Nur Sofea yang sebelum ini dirawat di wad biasa baru sahaja selesai pembedahan susulan paha retak pagi tadi manakala abangnya yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) menunggu masa untuk dibedah.
“Kita tak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa yang cedera di Hospital Melaka hari ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, setakat ini, semua penumpang bas warga Singapura yang cedera telah dibenarkan pulang.
“Setakat ini hanya dua beradik terbabit dan seorang pemandu lori membawa muatan pakaian terpakai masih dirawat di Hospital Melaka.
“Pemandu lori muatan pakaian terpakai berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU ekoran kecederaan parah terutamanya di bahagian kaki,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.
Tujuh mangsa maut adalah pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32, kedua ibu bapanya, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab Wahab, 66, serta pemandu pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Turut maut adalah anak pasangan muda itu Muhammad Umar, 2 dan pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.
Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu – MalaysiaGazette