MELAKA – Sembilan lagi mangsa dalam kemalangan ngeri melibatkan tujuh maut di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini malam Isnin lalu masih dirawat di hospital di negeri ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, ia membabitkan empat warga Singapura dan tiga rakyat tempatan yang dirawat di Hospital Melaka manakala dua lagi mangsa berada di hospital swasta.
“Untuk mangsa yang berada di Hospital Melaka, dua masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan.
“Selain anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban, turut berada di ICU adalah pemandu treler membawa muatan pakaian terpakai dalam nahas membabitkan lima kenderan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Muhammad Uwais dijadual akan menjalani pembedahan hari ini manakala adik perempuannya Nur Sofea Humaira, 4, yang cedera ringan dirawat di wad biasa.
Mengulas lanjut katanya, prosedur pembedahan terhadap pemandu treler juga akan dilakukan bergantung kepada keadaan semasa mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.
Tujuh mangsa maut adalah pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 kedua ibu bapanya, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab Wahab, 66 serta pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Turut maut adalah anak pasangan muda itu Muhammad Umar, 2 dan pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.
Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu – MalaysiaGazette