KUALA LUMPUR – Pelakon, Noorkhiriah menawarkan bantuan untuk mana-mana individu yang berdepan masalah menguruskan jenazah menerusi Pertubuhan Amal Nur By Khiriah yang ditubuhkan olehnya.
Pemilik nama Noorkhiriah Ahmad Shapie berkata, perkhidmatan percuma diberikan kepada individu memerlukan kerana menggunakan sumbangan daripada orang ramai untuk memastikan pengurusan jenazah dilakukan dengan sempurna.
“Assalamualaikum minta maaf dulu takut salah tulis. Soal tahan-tahan jenazah, scam jenazah tak boleh bawa keluar ni saya nak beritahu andai terjadi pada korang marilah cari Pertubuhan Amal Nur by Khiriah.
“Percuma dari A sampai Z (seluruhnya). Baru-baru ini ada kes jenazah kena tahan. Alhamdulillah duit sumbangan korang (netizen) itulah pihak saya guna. Besar pahala korang,” tulis di Instagram miliknya.
Pada perkongsian itu juga, Noorkhiriah turut menjelaskan, soal kematian bukan dianggap sebagai perniagaan sebaliknya ia fardhu kifayah.
“Bahagian saya tak ada apa semuanya team yang uruskan. Kalau tiada sumbangan korang tak bergerak jauh setakat depan belakang sahaja (perumpamaan).
“Bab meninggal dunia ini bukan perniagaan tetapi fardhu kifayah. Nak cakap lebih saya pun tak tahu tapi nak pesan pertubuhan ini percuma untuk semua tidak mengira bangsa selagi beragama Islam,” katanya.
Sesiapa yang memerlukan perkhidmatan itu boleh menghubungi Faizul 012-2058005/012-8005996.
Pelakon berusia 46 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang memberikan sumbangan dan memohon doa agar usaha yang dilakukan oleh pasukannya akan berjalan lancar.
“Meninggal dunia sakit apa pun team akan bantu. Kita bersaudara. Terima kasih kepada yang menyumbang seikhlas hati semampu dan seadanya.
“Alhamdulillah terima kasih doakan usaha ini dipermudahkan Allah,” katanya. – MalaysiaGazette