KUALA LUMPUR – Meskipun Ramadan bermula awal Mac 2025, namun orang ramai sudah mula membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Buktinya, hari ini orang ramai yang mengambil kesempatan cuti Hari Krismas dengan membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawasan di sekitar Jalan TAR ini meriah dengan orang ramai sejak jam 10 pagi tadi dengan gedung beli-belah dan arked yang menjual pelbagai barangan menjadi tumpuan.
Ambreena Imran,27, yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, dia mengambil kesempatan cuti Hari Krismas untuk membeli baju raya dan melengkapkan peralatan umrah.
“Saya memang akan datang ke Jalan TAR setiap tahun untuk beli baju raya terutamanya untuk anak-anak kerana di Tawau susah sedikit untuk mencari kelengkapan kerana tidak banyak kedai.
“Saya dan keluarga juga akan mengerjakan umrah tidak lama lagi jadi saya nak siapkan sekali barangan yang perlu dibawa (umrah) sebelum pulang semula ke Sabah malam ini,” katanya.
Wanita ini berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk beli-belah di sini terutamanya pada hujung tahun kerana jualan harga murah yang ditawarkan kebanyakan kedai.
Dalam pada itu, pengunjung dari Kedah, Muhammad Abdul Aziz Hashim, 37, juga memberitahu, dia datang ke Jalan TAR untuk membeli kelengkapan Hari Raya.
“Sudah lama sebenarnya isteri ajak saya ke sini tetapi ada kekangan masa. Jadi, saya ambillah peluang cuti panjang Hari Natal ini untuk tunaikan impian keluarga.
“Kami memang hampir setiap tahun ke sini untuk beli barang Hari Raya, disebabkan raya tahun depan agak awal jadi saya rasa cuti ini adalah masa terbaik untuk membeli segalanya.
“Lagipun, barisan kedai di Jalan TAR amat popular dan waktu seperti hujung tahun ini, memang tidak dinafikan. Jualan harga yang amat murah,” katanya.
Selain itu, Erma Iryani Mohd Ros Azmi, 45, juga berkata, dia mengunjungi Jalan TAR untuk membeli kelengkapan Hari Raya, selain barangan persekolahan anak-anaknya.
“Semalam saya ada dengar radio mengatakan gedung pakaian besar di sini ada membuat jualan akhir tahun dan saya terfikirlah untuk beli kelengkapan raya sekali.
“Setakat ini, barangan raya untuk saya sudah hampir lengkap, tinggal aksesori. Jadi, saya mahu cari peralatan sekolah untuk anak saya pula,” ujarnya.
Wanita yang menetap di Sungai Besi itu menambah, kebanyakan ambil peluang cuti Hari Natal ini untuk beli-belah kerana keadaan jalan di kota yang tidak sesak.
“Setiap tahun memang saya akan datang ke sini untuk beli baju raya tetapi kali ini beli awal kerana Aidilfitri tahun hadapan agak awal.
“Harga baju Melayu dan kebaya memang lebih murah sekarang. Kalau tunggu dekat raya nanti, mesti mahal dan sesak pula nak beli,” katanya. – MalaysiaGazette