KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menegaskan pengambilan pelajar antarabangsa di universiti negara ini tidak pernah menafikan hak pelajar tempatan.
Malah pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, jumlah pelajar luar negara masih jauh daripada sasaran sebanyak 250,000 orang berbanding hanya seramai 160,000 orang ketika ini.
Justeru tegas beliau, dakwaan berkaitan dengan pengambilan pelajar antarabangsa juga merupakan fitnah yang besar.
“Malaysia sebagai satu hab pendidikan tinggi telah diiktiraf oleh banyak negara dan menjadi pilihan pelajar luar negara.
“Kita sama sekali tidak berkompromi dengan kriteria kemasukan malah kita berikan peluang meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi melalui program dalaman universiti,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi JKNCR UA, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah di mana ahli-ahli JKNCR terdiri daripada Naib-Naib Canselor UA di negara ini.
Sidang media diadakan bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Haim Hilman dalam satu ceramah perdana yang mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui saluran terbuka telah menafikan hak anak-anak golongan miskin di mana video itu tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan turut percaya semua pemimpin masyarakat memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing.
Kata beliau, pihaknya juga menghormati hak kebebasan bersuara selagi ia bersifat matang serta berasaskan maklumat yang benar.
“Namun hak kebebasan bersuara ini tidak wajar disalah guna untuk memutarbelitkan fakta, sengaja mengelirukan masyarakat untuk kepentingan peribadi dan politik semata-mata atau menimbulkan kekecohan yang merosakkan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Ketika ini, prosedur kemasukan pelajar UA mempunyai dua saluran berbeza di mana saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan.
Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40 manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga M40, T20 dan antarabangsa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dakwaan Haim fitnah, tonjol kejahilan proses kemasukan pelajar ke UA – JKNCR UA