Nik Nazmi Nik Ahmad

PUTRAJAYA – Peningkatan aktiviti penguatkuasaan perlindungan hidupan liar serta penetapan kadar denda baharu sebanyak RM10 juta bagi penjenayah alam sekitar merupakan antara kejayaan utama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NRES telah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan perlindungan hidupan liar, termasuk spesies Harimau Malaya, melalui penambahan bilangan renjer komuniti kepada 1,924 orang pada 2024, dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.

Selain itu, NRES turut melaksanakan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.

“Akta ini, yang kali terakhir dipinda sejak 1974, kini menetapkan denda maksimum bagi jenayah alam sekitar dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta, selain hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasminya hari ini, berkenaan rumusan pencapaian pasukan NRES untuk tahun 2024.

Nik Nazmi berkata kira-kira 350,000 hektar kawasan di daratan dan lautan telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan baharu setakat September lalu di bawah insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT).

Inisiatif lain termasuk bantuan kewangan bagi kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, yang diperkenalkan pada tahun ini.

“Setakat September, seramai 130 pemohon telah menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM410,000,” katanya.

Nik Nazmi berkata, program Penghijauan Malaysia, melalui penanaman 100 juta pokok, berjaya diselesaikan setahun lebih awal daripada jadual, dengan pokok ke-100 juta ditanam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here