KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH) yang bakal menawarkan kursus Pengajian Madani peringkat pascasiswazah bermula tahun 2025.
Presidennya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, pelaksanaan program itu dapatĀ memberi manfaat kepada masyarakat kerana pendidikan holistik itu akan memupuk pemikiran kritis dan daya saing para graduan.
“Ini secara tidak langsung dapat mengisi jurang akademik dan menjadi platform untuk perbincangan isu kritikal seperti hak asasi manusia dan ekonomi dari perspektif Madani.
“Inisiatif ini dapat dilihat sebagai satu langkah dalam merealisasikan gagasan Malaysia Madani dalam melahirkan sarjana profesional dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain menyokong pelaksanaan kursus tersebut, PKPIM turut menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pengajian tinggi lain mengambil langkah memperkenalkan program Pengajian Madani di seluruh negara.
“Kerjasama erat antara ahli akademik, sarjana Islam dan pakar antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan kurikulum yang holistik dan relevan.
“PKPIM turut menekankan kepentingan penyediaan biasiswa dan dana penyelidikan bagi menyokong pembangunan bidang ini,” tambahnya.
Pihaknya juga akan terus komited dalam memainkan peranan untuk menjadi penghubung antara pelajar, universiti, dan agensi kerajaan bagi menyedarkan kepentingan Pengajian Madani dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette