MELAKA – Polis telah merakam keterangan pemandu lori yang tayarnya tercabut sehingga menjadi punca nahas negeri mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah ketika dihubungi berkata, keterangan pemandu berusia 31 tahun itu diambil malam tadi bagi membantu siasatan kes.
“Ini termasuk kemungkinan wujud kecuaian sehingga menjadi punca tayar kanan hadapan lori terbabit tercabut di atas lebuh raya menyebabkan berlakunya tragedi ngeri itu.
“Kita juga sedang mendapatkan rakaman video daripada ‘dashcam’ (papan pemuka) memaparkan tayar di atas jalan raya sehingga ia tular di media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pemilik kenderaan ‘dashcam‘ berkenaan tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, kes juga akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri selepas kertas siasatan lengkap.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.
Tujuh mangsa maut adalah pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 kedua ibu bapanya, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab Wahab, 66 serta pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.
Turut maut adalah anak pasangan muda itu Muhammad Umar, 2 dan pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.
Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.
Akibatnya, pemandu bas persiaran yang melalui lebuh raya itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu – MalaysiaGazette