KUALA LUMPUR – Pemandu kereta yang melarikan diri ketika ditahan polis di Jalan Persiaran Pinggiran Putra, Seri Kembangan yang rakaman kejadian itu tular di media sosial, telah dicekup semalam.
Dia ditahan bersama paket plastik dipercayai dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, suspek yang memandu Honda City berwarna hitam dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, tiga anggota polis yang menjalankan tugasan rondaan jenayah kemudian menahan kenderaan suspek.
“Anggota bertugas menghampiri suspek serta memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis.
“Suspek bagaimanapun melarikan diri dengan memecut laju kereta menuju ke Puchong melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
“Bagaimanapun anggota polis yang mengekori kenderaan itu kemudian berjaya memberkas suspek,” katanya menerusi kenyataan.
Anbalagan berkata, suspek adalah lelaki warga tempatan berumur 41 tahun dan memiliki 18 rekod jenayah melibatkan pelbagai kesalahan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette