KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari memberi amaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan penswastaan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) mungkin akan ditubuhkan jika anggota Kabinet kini menjadi pembangkang.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, mungkin akan ada pihak yang akan diseret ke mahkamah.
“Sewaktu kamu jadi pembangkang nanti, tidak boleh ditolak kemungkinan RCI akan ditubuh untuk menyiasat urus niaga songsang ini.
“Boleh jadi juga akan ada yang akan disyor untuk dihadap ke muka pengadilan. Pada waktu itu, jangan ada ahli Kabinet yang mengambil sikap ‘lepas tangan’, semua perlu bertanggungjawab atas keputusan ‘bodoh’ ini!” katanya.
Melalui hantaran di media sosial hari ini, Ahmad Fadhli turut sertakan perkongsian mengenai isu itu yang pernah dibuat pada 15 Disember lalu memaparkan prestasi kewangan MAHB yang memberangsangkan bagi suku tahun yang berakhir pada 30 September 2024.
Hantaran tersebut mempersoalkan kewajaran untuk menswastakan syarikat penerbangan negara itu.
“Dengan semua indikator kewangan dan operasi yang memberangsangkan ini, timbul persoalan: Perlu ke kita swastakan MAHB? Kalau syarikat ini dah mencatat keuntungan dua kali ganda, pendapatan meningkat, kualiti perkhidmatan diiktiraf di peringkat global, dan jumlah penumpang pun dah hampir pulih ke paras pra-pandemik, kenapa masih perlu diswastakan?
“Sebagai rakyat dan pembayar cukai, wajar kita bertanya: Siapa yang benar-benar untung? Adakah rakyat Malaysia atau entiti swasta tertentu?” soalnya.
Keuntungan bersih MAHB dilaporkan melonjak lebih dua kali ganda kepada RM210.4 juta berbanding RM94.7 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh kenaikan pendapatan sebanyak 20%, iaitu kepada RM1.53 bilion berbanding tahun sebelumnya. Menurut Laporan Kewangan Suku Tahunan MAHB Q3 2024, pencapaian ini disifatkan sebagai bukti kecekapan pengurusan dan pemulihan industri penerbangan pasca-pandemik.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, MAHB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM606 juta hasil daripada pendapatan berjumlah RM4.3 bilion.
Ini merupakan lonjakan besar berbanding keuntungan RM255.5 juta daripada pendapatan RM3.5 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2023 satu petunjuk kepada peningkatan besar dalam margin keuntungan kasar.
Menurut Laporan Kewangan Sembilan Bulan Pertama MAHB 2024, pencapaian ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kecekapan operasi serta pengurusan kos yang lebih baik.
Isu berkenaan penjualan saham MAHB merupakan antara yang akan disiasat PAC dalam prosiding yang dijangka bermula 3 Februari hingga 6 Mac tahun depan.- MalaysiaGazette