KUALA LUMPUR – Akibat perselisihan faham menjadi punca dua individu dipercayai turut melibatkan lelaki autistik bergaduh di sebuah restoran makanan segera di Desa Pandan pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, pihaknya telah menerima dua laporan dari kedua-dua belah pihak berhubung kejadian itu sekitar 2.30 petang.
“Berdasarkan laporan diterima, berlaku pertengkaran dan perselisihan faham antara suspek serta pengadu namun telah dileraikan rakan sekerja mereka.
“Kemudian suspek bertindak menyerang pengadu dan berlaku pergelutan mengakibatkan kedua-duanya mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Lazim, kedua-dua individu terlibat berusia 18 serta 23 tahun dan kes terbabit sedang disiasat dibawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular hantaran di Facebook seorang pemuda autistik berusia 23 tahun, Hailmi didakwa telah diserang oleh rakan sekerjanya di sebuah restoran makanan segera tempat mereka bekerja.
Bagaimanapun, ibunya, Adra Azura mendakwa seorang pegawai penyiasat dari balai polis daerah Wangsa Maju telah memaksa mereka untuk menarik balik laporan yang dibuatnya berhubung kejadian tersebut.
“Saya dinasihatkan untuk gugurkan kes ini bagi mengelak anak saya direman kerana tiada lokap khas untuk orang kelainan upaya,” dakwa Adra.
Dia mendakwa pegawai tersebut juga memberitahunya yang Syaidina dan rakan sekerjanya perlu direman jika siasatan diteruskan.
Tekad untuk mendapatkan keadilan, Adra bertegas agar polis melihat rakaman CCTV di tempat kerja anaknya untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Mohammad Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette