Ifa Raziah dan Roslan Shah.

KUALA LUMPUR – Persengketaan selama tujuh tahun di antara  artis Ifa Raziah dan Roslan Shah akhirnya terlelai.

Ifa berkata, mereka kini memilih untuk berdamai dan melupakan apa yang telah berlaku demi menyambung kembali ukhuwah.

“Perselisihan faham saya dan Roslan bermula awal Januari 2018, jadi sudah hampir tujuh tahun isu berlarutan. Saya bersyukur kepada Allah kerana meleraikan ego saya dan Roslan, hasilnya silaturahim kembali terjalin.

“Sebelum ini, kebanyakan peminat di Singapura sudah jelas dengan situasi kami. Kami sepakat tampil dalam sidang media bagi menjelaskan perkara sebenar,” katanya yang ditemui pada sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindah di ibu negara baru-baru ini.

Ifa berharap penjelasan tersebut akan turut menyenangkan hati peminat mereka berdua di Malaysia dan Singapura.

“Semoga dengan penjelasan ini membuatkan peminat di Malaysia dan Singapura mampu tersenyum semula melihat gelagat kami yang suka usik mengusik bagi menghiburkan peminat.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan kami kembali semula,” tambahnya.

Sebagai rekod, kedua-dua selebriti itu sebelum ini bertikam lidah sehingga membawa kepada pelbagai tuduhan dan laporan polis.

Ifa pernah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan mengupah pembunuh upahan untuk menembak artis kelahiran Singapura itu.

Manakala Roslan juga membuat laporan polis di Johor Bahru yang mendakwa Ifa mengugut mahu membunuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here