KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak beri lampu isyarat ketika membelok kenderaan menjadi punca pergaduhan antara penunggang motosikal dan pemandu kereta di Jalan Kebun, Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun pada pukul 8.36 malam.
“Siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun yang menunggang motosikal telah menahan kereta mangsa yang bekerja sebagai jurutera dan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.
“Ia berpunca daripada mangsa telah membelok kereta tanpa memberikan signal sehingga menyebabkan suspek bersama anaknya hampir terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Iqbal, bagaimanapun semakan lanjut mendapati kedua-duanya telah berdamai dan mangsa tidak mahu siasatan polis diteruskan serta menarik balik laporan yang dibuat.
“Susulan itu kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan peka semasa di jalan raya serta mematuhi undang-undang alan raya,” jelasnya.
Terdahulu, tular rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit kejadian buli jalanan memaparkan seorang penunggang motosikal memarahi pemandu kereta di Jalan Kebun.
Rakaman itu telah mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyeru pengguna jalan raya supaya lebih bertanggungjawab dan mengamalkan sikap saling hormat-menghormati. – MalaysiaGazette