KUALA LUMPUR – Malaysia seharusnya mempertimbangkan untuk mewajibkan sistem amaran tekanan tayar (TPMS) untuk lori dan kenderaan berat agar pemandu mengetahui lebih awal mengenai tekanan tayar mereka dalam keadaan rendah atau tidak normal.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, TPMS dapat memberikan amaran awal yang boleh mengelakkan kerosakan tayar atau kegagalan lebih serius kepad kenderaan terbabit.
“Sistem ini juga dapat meningkatkan keselamatan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh masalah tayar.
“Selain itu, TPMS juga membantu dalam penjagaan tayar yang lebih baik, mengurangkan pembaziran bahan api dan memperpanjang jangka hayat tayar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, penguatkuasaan had muatan lori yang ketat adalah sangat penting untuk keselamatan kerana apabila lori membawa beban berlebihan, ia meningkatkan tekanan pada tayar dan gandar.
Menurut beliau, ia kerana beban berlebihan boleh menyebabkan kerosakan lebih cepat dan meningkatkan risiko kemalangan.
“Selain itu, beban berlebihan juga meningkatkan penggunaan bahan api dan boleh merosakkan struktur jalan raya dan penguatkuasaan yang lebih ketat dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan komponen-komponen ini,” katanya.
Mengenai faktor tayar lori tercabut yang menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, Teik Hua memberitahu, beberapa faktor utama boleh menyebabkan kegagalan komponen penting itu berlaku.
BACA: Video lelaki tahan lori tayar goyang kembali tular
Kata beliau, antaranya tekanan udara yang tidak betul kerana terlalu rendah atau terlalu tinggi dan boleh menyebabkan tekanan yang tidak seimbang pada tayar hingga mengakibatkan kehausan yang cepat atau kerosakan struktur tayar.
“Faktor lain adalah beban berlebihan di mana jika lori membawa muatan melebihi had yang dibenarkan, tayar akan terpaksa menanggung beban yang lebih berat daripada yang sepatutnya menyebabkan kehausan yang lebih cepat atau potensi kegagalan tayar.
“Pada masa sama kegagalan mekanikal juga menjadi faktor termasuk termasuk kerosakan pada rim tayar, kebocoran atau kerosakan struktur tayar itu sendiri, yang mungkin disebabkan oleh kecuaian atau kelemahan bahan tayar,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian kira-kira 8.45 malam kelmarin, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza turut menyebabkan 33 lagi cedera.
Siasatan awal mendapati ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.
Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: