KUANTAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terbakar Jalan Haji Ahmad dekat Kuantan dalam kejadian awal 5.58 pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa Mohd Nor Amin Phua Abdullah, 60, memandu seorang diri.
Ketua Polis Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Mohd Nor Amin Phua Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di dada.
Pemeriksaan polis mendapati kereta yang dipandu mangsa milik anak lelakinya hangus akibat kejadian itu.
“Kejadian berlaku semasa mangsa memandu dari arah Kuantan menghala ke arah Jalan Haji Ahmad, dekat sini.
“Kenderaan dipandu mangsa yang sedang bergerak lurus, tiba-tiba dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok di bahu jalan menyebabkan kereta dinaikinya terbakar keseluruhan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Zahari berkata, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kenderaan terbakar.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette