TAPAH – Seramai 26 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan polis selepas didapati terbabit dalam kegiatan perjudian laga ayam di sini, semalam.
Serbuan dan tangkapan itu dilakukan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah menerusi Ops Dadu pada jam 2 petang.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 50 tahun.
“Dalam operasi itu, pihak polis berjaya merampas 49 ekor ayam laga, lima buah sangkar besi, 22 buah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM18,314.
“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1) (a) dan Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015. – MalaysiaGazette