KUALA LUMPUR – Bank Islam menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam berkata, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam telah melepasi sasaran awal RM4 bilion dengan mencatatkan RM4.8 bilion dalam pembiayaan hijau pada September 2024.
Menurut beliau, angka ini jauh mendahului sasaran 2025 yang ditetapkan serta menonjolkan peranan Bank Islam dalam memacu ekonomi hijau negara.
“Komitmen kami terhadap kewangan hijau bukan sekadar pematuhan kawal selia tetapi usaha untuk mewujudkan perubahan positif yang akan membentuk ekonomi Malaysia untuk generasi akan dating.
“Dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri penting demi masa depan Malaysia, seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan, tetapi juga memastikan kami melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Salah satu elemen utama dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) yang dilancarkan pada 2023.
ISIA merupakan pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan pelbagai aset bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia.
Melalui ISIA, Bank Islam membuka peluang pelaburan dalam sektor penting seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan mesra alam, pembiayaan hijau, air bersih dan sanitasi serta pembangunan bandar mampan.
Inisiatif ini membolehkan pelabur menyumbang kepada ekonomi hijau yang berimpak tinggi, serta memupuk ekonomi yang mesra alam dan memastikan ekosistem yang inklusif.
Muazzam menambah, Bank Islam turut memberi tumpuan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih dengan membiayai projek tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.
Usaha ini seiring dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Penglibatan aktif Bank Islam dalam sektor ini, termasuk sektor penting seperti pembuatan dan perladangan mencerminkan komitmennya terhadap pembangunan mampan negara, pada masa sama, selaras dengan piawaian kawal selia global dan amalan terbaik industri.
Di samping kemampanan alam sekitar, inisiatif kewangan hijau Bank Islam merupakan pemacu teguh yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Bank Islam memupuk penciptaan pekerjaan, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perniagaan tani dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Usaha ini memacu pembangunan luar bandar, meningkatkan mata pencarian, dan menggalakkan ekonomi Malaysia yang lebih saksama dan berdaya tahan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette