Orang ramai membeli barang keperluan harian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2024.

MASYARAKAT hari ini semakin terhimpit dengan bebanan hidup yang semakin berat. Peningkatan harga barang dan perkhidmatan mutakhir ini telah memberi tekanan yang signifikan terhadap kuasa beli rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keadaan ini telah memicu keresahan di kalangan masyarakat, yang mengharapkan langkah konkrit daripada kerajaan untuk meringankan beban mereka.

Kerajaan perlu mengkaji sama ada peningkatan harga selaras dengan peningkatan kos produksi dan perkhidmatan atau hanya sekadar helah untuk mengambil untung berlipat ganda. Jika perkara ini terus berlaku apa sahaja dasar dan polisi yang dibuat oleh kerajaan, sebagus apapun, akan berdampak buruk kerana ada pihak yang rakus untuk mengambil keuntungan dengan menyalahkan kerajaan.

Ambil dasar gaji minimum RM1,700 sebagai contoh. Bagi syarikat yang mempunyai enam pekerja, kenaikan kos hanya kira-kira 13%. Namun apa yang peliknya di sini jika syarikat tersebut mempunyai 40 pelanggan kenapa yuran perkhidmatan dinaikkan 30 peratus kepada setiap pelanggan yang menyebabkan kepada pengambilan untung berganda.

Begitu juga kenaikan kos pengangkutan dan bahan api yang sering menjadi alasan digunakan untuk menaikkan harga barang basah dan kering. Ia menjadi alasan klasik untuk menaikkan harga per kilogram atau per item kepada pengguna sejak zaman-berzaman. Anehnya, keuntungan yang diraup seolah-olah tak pernah cukup, seolah-olah ada dahaga yang tak terpuaskan untuk keuntungan berlipat ganda.

Perkara-perkara seperti ini harus diteliti oleh kerajaan agar tidak ada pihak yang sengaja memberi alasan ada peningkatan kos untuk menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka. Sejak berzaman perkara ini berlaku setiap kali kerajaan menaikkan gaji atau menambah bantuan sara hidup kepada rakyat walaupun tidak ada peningkatan kos tetapi harga produk dan perkhidmatan meningkat untuk mengambil keuntungan berlebihan.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas bagi melindungi kepentingan pengguna. Melalui pengawasan ketat terhadap harga barangan dan perkhidmatan, serta pemberian insentif kepada syarikat yang tidak menaikkan harga secara keterlaluan, ia diharap dapat meringankan beban rakyat. Selain itu, perlu ada mekanisme yang telus bagi memastikan kenaikan harga yang berlaku benar-benar didorong oleh peningkatan kos pengeluaran. Dengan itu, rakyat dapat berasa lebih adil dan mempercayai dasar kerajaan.

Mohamad Shafiq Abdul Halim

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here