Tangkap layar foto yang tular memaparkan bendera negara China diletak pada replika roket semasa Karnival Lampu LED di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak, Johor

TANGKAK – Karnival Lampu LED yang berlangsung di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, dijangka dihentikan hari ini susulan terdapat bendera negara China pada replika roket yang dipasang di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani berkata, penganjur tidak sensitif dan perkara tersebut tidak wajar berlaku walau apapun alasan yang cuba diberikan.

“Walau apa pun alasan penganjur termasuk untuk seni sekalipun tetapi, ia tetap perlu sensitif kerana ia melibatkan patriotik.

“Laporan polis telah dibuat oleh Pemuda UMNO Bahagian Ledang di balai polis di sini semalam,” ujar Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang itu ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu tular foto tersebut yang memaparkan replika roket gergasi dengan bendera negara China diletakkan pada bahagian sayapnya di pekarangan dewan berkenaan.

Sahrihan menasihatkan kepada penganjur, sebarang program selepas ini supaya lebih sensitif dengan budaya masyarakat dan tidak mencetuskan provokasi yang boleh mencetuskan kegelisahan dalam masyarakat.

“Sejak awal isu ini diviralkan saya telah berhubung dengan pihak Majlis Daerah Tangkak (MDT) menyuarakan rasa kebimbangan perkara ini akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.

“Saya menekankan satu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program tersebut sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MDT dan pihak keselamatan,” katanya.

Pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan siasatan kes itu serta tindakan lanjut yang bakal diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak keselamatan dalam menangani isu berkenaan.

Sahrihan juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang terkehadapan dengan membuat laporan polis dan mengeluarkan kenyataan awal berhubung isu itu.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO sama sekali tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak yang menggugat maruah dan keselamatan negara.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih atas segala komen dan keprihatinan masyarakat terhadap perkara ini. Jelas bahawa kita boleh bersama-sama dalam satu perkara yang melibatkan maruah dan keselamatan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib dalam kenyataan ringkas memberitahu, pihaknya ada menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. pihak berwajib perlu ambil tindakan tegas sebagai pengajaran. termasuk batalkan kerakyatan mereka yg terlibat, jika mereka adalah warganegara.

  2. kalau betul replika tu dari China .apa salahnya diletakkan bendera China. Tak kan nak jadi macam replika buatan Kelantan mesti dia taruk bendera BULAN.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here