Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika menjawab soalan media.-MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas menggugurkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Tindakan itu berikutan keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan saman fitnahnya ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024, telah menolak saman fitnah difailkan Hannah terhadap Musa berhubung kenyataan di dalam satu forum yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020, iaitu, bahawa Hannah Yeoh:

  1. dikaitkan dengan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian melalui buku beliau “Becoming Hannah”, dan
  2. mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara.

Menurut Mas Ermieyati, dalam penghakimannya, Hakim Arziah Mohamed Apandi mendapati bahawa kenyataan Musa tidak bersifat fitnah dan bahawa Hannah sendiri, melalui bukunya “Becoming Hannah”, mengakui peranannya sebagai ‘duta Tuhan’ dan usaha menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia.

“Tindakan Hannah menyalahi dan bertentangan dengan undang-undang di bawah:

  1. Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu’.
  2. Seksyen 298(A)(1} Kanun Keseksaan’ kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

“Sehubungan itu, Bersatu ingin menyembah perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

“… dan memohon pertimbangan agar suatu tindakan tegas dapat diambil ke atas Hannah dan semua pihak yang terlibat dalam gerakan evangelism seperti didedahkan oleh Musa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, Bersatu turut mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan segera menggugurkan Hannah dari jawatan awam atas pengakuannya yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Malaysia.

Bersatu katanya, mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kandungan buku “Becoming Hannah” yang mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.

“(Juga) Mengambil tindakan undang-undang terhadap Hannah dan penerbit bukunya sesuai dengan peruntukan undang-undang Malaysia berkaitan penyebaran agama kepada umat Islam.

“Tindakan tegas ini perlu diambil untuk memastikan keharmonian antara agama di Malaysia terpelihara dan undang-undang negara dihormati oleh semua pihak,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here