JOHOR BAHRU – Dua lelaki meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Pontian Lama, berhampiran bulatan Taman Desa Skudai, di sini, tengah malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Suraini Adnan berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 12.11 tengah malam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.17 pagi.
“Seramai tujuh anggota dengan dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kita mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Waja yang berlanggar dengan lori 10 tan.
“Akibat perlanggaran itu, seorang mangsa lelaki berusia 43 tahun maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta.
“Seorang lagi lelaki yang juga berusia 43 tahun turut disahkan meninggal dunia tetapi tidak tersepit,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan lanjut.
Katanya, seorang lagi mangsa dalam lori yang terbabit iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun, dilaporkan terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.
“Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.03 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette