KUALA LUMPUR – Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama dua lagi mangsa terbabit dalam kemalangan di kilometer 187.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara Jasin, Melaka, pagi ini.
Pegawai Penguasa Bomba Melaka, Mohd Hanif Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian pukul 6.23 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Jasin Bestari digegaskan ke lokasi nahas dan tiba dalam tempoh hanya beberapa minit.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian didapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas.
“Terdapat empat orang mangsa berumur 20an dan dua mangsa berjaya dikeluarkan manakala, dua lagi mangsa yang tersepit dan telah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Tambahnya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sementara dua yang maut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, mangsa yang maut dikenali sebagai Nurul Syafiqah Nasruddin, berasal dari Lot 11034 Kampung Ulu Rokan, Gemencheh Negeri Sembilan dan Nurhanis Afryna Azizan berasal dari No 1348 Peringkat 2, Felda Selancar 02, Muadzam Shah, Pahang.
Manakala, dua rakannya yang cedera dikenali sebagai Nur Hanis Suraya Supiyan, berasal dari No 1 Lorong 208, Taman Setongkol Fasa 2, Kuantan, Pahang serta Azwalidiya Azman berasal dari Lot 15333 Kampung Baru Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Kedua-dua mereka hanya mengalami kecederaan pada kaki dan luka-luka ringan.
Katanya, siasatan ditempat kejadian mendapati kemalangan hanya melibatkan kenderaan yang dinaiki mangsa tanpa melibatkan kenderaan lain.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dari arah Johor menghala ke Melaka telah terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri di km 186.7 lebuhraya utara Selatan Utara.
“Akibat kemalangan ini penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri telah maut di lokasi kemalangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette