KUALA LUMPUR – Semua kenderaan di seluruh negara bakal dikenakan tindakan sita dan lucut hak sekiranya gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ yang dijalankan di seluruh negara semalam, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil susulan beberapa siri kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan.
“Menerusi tindakan penguatkuasaan berkenaan, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan dibawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya yang lain.
“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak melebihi RM 500,000,” katanya.
Jelasnya lagi, kenderaan yang terlibat juga boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan kenderaan itu turut boleh dilucuthak sekiranya sabit kesalahan.
Menurutnya lagi, JPJ akan menumpukan tindakan itu terhadap kenderaan perdagangan yang didapati melakukan kesalahan seperti lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas serta teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.
Dalam pada itu, beliau juga tidak akan berkompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara.
“JPJ memandang serius dengan trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,”. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN