BATU PAHAT – Keberanian seorang pemuda mahu ‘mencari hantu’ menerima padah apabila dipenjara tiga bulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan menceroboh bangunan untuk melakukan aktiviti paranormal, Sabtu lalu.
Muhammad Haikal Mesrol, 24, mengaku salah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia yang merupakan pembantu kedai cuci kenderaan didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan terbiar milik seorang pengurus berusia 66 tahun di Bukit Pasir, di sini, pukul 7.10 pagi, pada 21 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa dari tertuduh ditahan pada 21 Disember lalu.- MalaysiaGazette