KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh menghormati perlembagaan negara dan sensitiviti agama.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, kenyataan yang dipertikaikan di mahkamah sebelum ini yang mendakwa Hannah menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara menimbulkan persoalan tentang matlamat politik parti itu.
“Adakah DAP bercadang menjadikan agama Kristian sebagai agama utama menggantikan Islam yang telah termaktub sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia?
“Kami bimbang terhadap sebarang usaha yang dilihat bercanggah dengan status quo agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi, di sini, menolak saman fitnah difailkan Menteri Belia dan Sukan itu terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Menurut Irwan Fahmi, adalah penting seseorang memahami Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3(1) yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.
Selain itu, tambah beliau, Perkara 11(4) turut memperuntukkan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam.
“Dulu ada program ‘Jom ke Gereja’ yang didakwa menyasarkan golongan muda Islam melalui Kementerian Belia dan Sukan.
“Insiden ini menjadi antara asas kebimbangan terhadap penglibatan beliau dalam isu agama,” ujarnya.
Irwan Fahmi berkata, semua pemimpin politik Melayu dalam kerajaan diseru untuk tidak berdiam diri apabila isu agama disentuh, terutama jika ia melibatkan tindakan yang mencabar keharmonian antara kaum dan agama.
Katanya, Perkasa mahu Hannah tidak membuat kenyataan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette