Ahli-ahli Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dalam sidang media di Rumah Mandiri, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

KUALA LUMPUR – Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)  mengumumkan penubuhan Sekretariat Sucikan Malaysia bagi gerakan menentang rasuah, bukan sahaja di Sabah tetapi seluruh negara.

Ketua penerangannya, Muhammad Fakrurrazzi Khairul Rijal berkata, penubuhan sekretariat baharu ini akan menjadi platform menggabungkan usaha mahasiswa dan masyarakat sivil dalam gerakan kolektif melawan korupsi.

“Ketirisan dalam penggunaan dana awam dan salah guna kuasa oleh pemimpin tamak telah merampas hak rakyat Sabah untuk hidup lebih baik.

“Sedangkan keadaan di sana kini masih lagi dibelenggu skandal rasuah yang menjejaskan kehidupan rakyat, daripada infrastruktur terabai sehingga masalah bekalan air bersih,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung HARAM, Mohamad Adam Wafiq Nor Azman turut menyuarakan kekecewaan terhadap kerajaan Madani yang menurut mereka, gagal menunaikan janji menoktahkan rasuah.

“Kes-kes pembebasan nama-nama besar dalam bidang politik daripada kes rasuah telah menimbulan kemarahan rakyat. Kami turut mempersoalkan kewajaran pelantikan Tun Musa Aman sebagai Timbalan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Melalui sekretariat ini, kami berhasrat untuk menyatukan suara rakyat dan memperhebat tekanan kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas tanpa pilih kasih,” tambahnya.

HARAM turut mengeaskan, perjuangan melawan rasuah adalah tanggungjawab bersama demi memastikan keadilan dan integriti terus tegak di Malaysia.

Dengan penubuhan sekretariat ini, mereka berharap dapat mewujudkan masa depan negara yang lebih adil dan bebas daripada cengkaman korupsi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here