Pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah akan dibuat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, esok.

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua bentuk hukuman badan termasuk rotan atau sebat di khalayak ramai sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat individu terlibat.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, hukuman sedemikian melucutkan maruah dan menghina individu serta menjadikan mereka objek yang memalukan, bukannya menggalakkan pemulihan atau untuk bertaubat.

“Pendekatan ini menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubangan itu, badan berkenaan menggesa Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan mempertimbang semula amalan merotan awam dengan menyemak dan meminda undang-undang yang membenarkan sedemikian.

Badan itu menyatakan pendiriannya terhadap pelaksanaan hukuman sebat terhadap seorang tukang rumah, Mohd. Affendi Awang, 42, esok kerana kesalahan khalwat berulang.

Lelaki itu merupakan individu pertama di negeri berkenaan yang menjalani hukuman sebat di khalayak ramai.

Hukuman enam kali sebatan itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki itu mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Sementara itu, media melaporkan, polis akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu bagi mengawal keselamatan dan kelancaran proses hukuman sebat ke atas tukang rumah itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.

Dalam kenyataannya, Mohamad Ezri turut menyeru agar hukuman dera di Malaysia dimansuhkan sepenuhnya bagi mengimbangi moral, belas kasihan dan kedaulatan undang-undang.

Ujarnya, meskipun mengakui kepentingan menegakkan undang-undang yang memelihara moral awam dan keharmonian masyarakat, hukuman yang dijalankan mesti selaras dengan komitmen Malaysia untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia.

Tambahan pula, pelaksanaan hukuman sebat awam melebihi bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang dinyatakan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

“Walaupun Akta 355 membenarkan hukuman sebat, ia tidak membayangkan hukuman itu dijalankan secara terbuka,” ujarnya.

Menurut beliau, Malaysia bercita-cita menjadi sebuah negara yang dihormati kerana mematuhi piawaian hak asasi manusia.

Namun ujarnya, membenarkan hukuman sebat awam melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa termasuk yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menghina (UNCAT) .

Kata beliau, Malaysia perlu mencontohi beberapa negara majoriti Islam telah meratifikasi atau menyetujui UNCAT. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak payah sembang pasal hak asasi manusia PBB laaa..tu hak asasi manusia di Palestin terang2 dicabul…PBB jd tunggul..lagi mahu hormat tunggul kayu? Lagi satu Hak Asasi apa? Hak asasi melakukan maksiat dan mungkar? Buanglah nama ko MOHAMAD Ezri tu..gantikan dengan nama Robert atau David kaa…bodoh tak bertempat…

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here