Tentera Israel semasa operasi di Jenin di Tebing Barat yang diduduki. Foto AFP

Oleh Ismail Hashim Yahaya

BEBERAPA hari lalu semasa saya melayari ruang siber membaca berita perkembangan terkini mengenai Gaza dan Timur Tengah saya terjumpa berita menggemparkan di Times of Israel bertarikh 11 November 2024. Dalam berita tersebut Menteri Kewangan berhaluan kanan Israel mahu negara haram itu memperluaskan pencerobohan dan menuntut Tebing Barat diduduki pada 2025.

Bezalel Smotrich berkata, dia akan mendorong kerajaan Israel untuk melibatkan pentadbiran Donald Trump bagi mendapatkan sokongan
Washington. Sebagai tambahan kepada jawatannya sebagai menteri kewangan, beliau yang berasal dari kawaan penempatan haram Israel itu memegang jawatan dalam kementerian pertahanan Israel dalam menyelia pentadbiran wilayah yang diduduki di Tebing Barat dan kawasan penempatan haram sekitarnya.

Ia adalah sebahagian daripada perjanjian gabungan partinya dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Dalam mesyuarat parti-parti pelampau kanan di Knesset pada awal November, Smotirch yang mengalukan kemenangan Trump berkata dia telah mengarahkan Pentadbiran Sivil dan Direktorat Penempatan Kementerian Pertahanan supaya membuat persediaan dan rmenyediakan rancangan asas untuk penaklukan. Dia turut berharap pentadbiran Trump akan mengiktiraf dorongan kedaulatan Israel.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Luar Israel berkata, walaupun tiada keputusan dibuat, isu itu boleh dibincangkan dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di Washington pada masa hadapan. Apabila merujuk kepada bahan-bahan dalam Google saya dapati media tempatan ada memuat berita berkenaan pada bulan November jugak. Bahkan kenyataan sama yang dinyataan Smotrich disiarkan media Al Jazeera pada 11 November 2024.

Pada pandangan saya kenyataan Smotrich mengesahkan hasrat kerajaan Israel untuk menggabungkan Tebing Barat bersama-sama dengan Gaza di bawah penguasaan penuh Israel dengan menyingkirkan pihak Berkuasa Palestin. Smotrich telah bertahun-tahun meminta kedaulatan Israel di Tebing Barat, tanah yang merupakan sebahagian hak rakyat Palestin untuk pembentukan negara masa depan mereka sebagaimana dijanji dalam Perjanjian Oslo yang ternyata hanya wayang sahaja.

Smotrich sendiri menulis dalam X dengane menggunakan nama-nama biblikal dalam merujuk kepada Tebing Barat yang akan diduduki dengan berkata “2025 adalah tahun kedaulatan Judea dan Samaria.” (Al Jazeera,11 November). Ini bermakna 2025 adalah tahun rancangan Israel akan menawan Tebing Barat yang merupakan cabaran kepada perjuang Palestin untuk membebaskan wilayah daripada penjajahan pengganas Israel.

Mereka bukan sahaja berdepan dengan genosid di Gaza mungkin juga genosid di Tebing Barat. Penaklukan Tebing Barat sudah menjadi agenda Israel selama bertahun lamanya. Keadaan semasa di Lubnan apabila gencatan senjata dicapai dengan Hezbolllah, kejatuhan kerajaan Bashar al Assad dengan Hamas seolah-olah telah dipencilkan, maka rancangan penaklukan ke atas Tebing Barat dikira Smotrich merupakan masa yang terbaik buat regim genosid Israel untuk melakukan serangan.

Cadangan yang dikemukakan itu merupakan peluang yang tidak dapat ditangguh. “Saya rasa ia adalah peluang terbaik dengan pentadbiran baharu mewujudkan normalisasi penuh (penaklukan Israel),” memetik kenyataannya daripada media Israel.

Jika diteliti terdapat dua alasan yang membuat pemimpin berhaluan kanan ini optimistik yang Trump akan menyokong rancangan ini: pertama, pengalaman Israel semasa Trump pertama kali menjadi presiden yang membenarkan Israel menuntut kedaulatkan ke atas pendudukan haram di Bukit Golan, Syria dan Baitulmaqdis Timur dan kedua, kenyataan Trump semasa kempen pilihan raya presiden baru-baru ini.

“Israel adalah terlalu kecil jika dilihat dalam peta, kata Trump semasa membuat ucapan di hadapan kumpulan pro-Israel bagi kempen “Hentikan Anti-Semitik’ dalam acara Ogos lepas, dengan memikirkan: “adakah cara lain untuk mengembangkannya?”.

Kenyataan ini agak janggal untuk ditafsirkan, tetapi diterima dengan gembiranya dalam kalangan ahli politik Israel, yang memahaminya sebagai lampu hijau untuk regim pengganas melakukan lebih banyak penaklukan. Bahkan jika diperhatikan matlamat penjajahan Israel mendapat galakan berikutan beberapa perkembangan terkini. Berikutan kejatuhan Assad di Syria, regim pengganas ini telah mula menguasai bahagian-bahagian tertentu negara tersebut, mendekati sehingga ke daerah Quneitra, kurang 20 meter daripada ibu negara, Damsyik.

Pada pemerhatian saya, dengan apa yang berlaku di Syria sekarang tidak mustahil regim pengganas akan memulakan penaklukan mereka ke atas Tebing Barat dalam bulan-bulan akan datang pada 2025. Regim pengganas ini telah menakluki hampir 70 peratus kawasan Bukit Golan pada 1967 dan mengukuhkan pendudukan haram ini dengan menguasainya secara rasmi pada 1981 melalui menggubal Undang-Undang Bukit Golan.

Jika sesiapa masih ingat, setahun sebelum itu regim pengganas telah melakukan pendudukan haram ke atas wilayah Baitulmaqdis Timur. Walaupun Tebing Barat tidak dikuasa secara rasmi, sempadan Baitulmadis Timur telah diperluaskan melampaui sempadan asalnya menelan bahagian-bahagian besar di Tebing Barat.

Dalam hubungan ini banyak berita melaporkan para peneroka haram telah mengganas dan menguasai kawasan-kawasan penempatan penduduk asal Palestin. Penduduk Palestin telah dihalau keluar dariada kediaman dan tempat tinggal bahkan ada yang cedera dan dibunuh jika engkar.

Seperti kita ketahui, Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Bukit Golan diperakui sebagai wilayah-wilayah yang diduduki secara haram, dengan dukungan dan sokongan kerajaan-kerajaan barat yang sengaja mendiamkan diri, sesuatu yang tidak diperakui di peringkat antarabangsa.

Berbalik kepada rancangan penaklukan ke atas Tebing Barat, Pertubuhan Bangsa-dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)
telah membuat keputusan menghukum tindakan israel yang merupakan genosid terang-terangan ke atas penduduk Gaza dan mengeluar waran menangkap pemimpin Israel tetapi sehingga kini masih tidak dapat membuat apa-apa untuk menghentikan regim haram itu daripada melakukan genosid.

Maka apakah yang dapat menghalangkan regim genosid daripada tidak menawan Tebing Barat? Seperti pentadbiran Joe Biden, Presiden ke 45 Amerika Syarikat (AS) ini juga tidak akan ada bezanya akan terus mendanai dan menyokong segala rancangan dan agenda perang Israel termasuk melakukan genosid.

Penaklukan Tebing Barat adalah satu kemungkinan apabila memasuki gerbang 2025. Walaupun penaklukan yang berlaku tidak merubah status perundangan seperti Gaza yang dimiliki Palestin, kesannya amat buruk kerana jutaan penduduk Palestin yang tinggal di sana akan berhadapan dengan keganasan dan kempen penghapusan etnik sehingga boleh membawa kepada genosid dan ancaman kebuluran seperti yang berlaku ke atas Gaza.

Seperti dijelas jika penaklukan berlaku PA akan menjadi tidak relevan lagi, adakah PA akan bersama-sama regim pengganas membunuh rakyat mereka sendiri yang menentang penaklukan ini? Jika Israel menguasai Tebing Barat adakah PA akan menjadi tentera pejuang seperti Hamas 9atau berjuang bersama Hamas dan Jihad Islam dalam mempertahankan Tebing Barat yang diduduki regim pengganas?

Maka Intifada baharu akan berlaku dalam satu gabungan besar pejuang Palestin di mana tentera Israel tentu akan menggunakan kekerasan dan keganasan yang di luar kemanusiaan bagi berhadapan dengan penentangan ini. Menakluki Tebing Barat merupakan cita-cita regim genosid untuk menawan seluruh Palestin.

PBB negara Islam dan pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan dan antarabangsa lain harus peka dengan rancangan regim pengganas Israel yang masih dahagakan darah manusia dan menjadi pembunuh kebinatangan pada alaf ini. Jangan biarkan serangan bermula barulah hendak bersuara! Malaysia harus ke depan menyuarakan perkara ini supaya dunia bangkit menyuarakan bantahan awal terhadap rancangan Isreal pada 2025.

Tahun 2025 Malaysia sudah menjadi anggota BRICS, maka tentulah pandangan pro aktif dan cadangan Malaysia akan mendapat perhatian Russia dan China sebagai kuasa multipolar yang dapat memainkan peranannya sebagai penjaga keamanan sejagat. Adakah dunia akan terus menyaksikan perkara ini berlaku dengan begitu sahaja pada 2025? Gaza adalah pengajarannya!

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here