KUALA LUMPUR – Kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM) dilakukan dengan cara ‘bersih’ dan tidak menunjukkan tanda-tanda keganasan seperti gigitan atau cakaran yang lazim dalam serangan anjing.
Sehubungan itu, Presiden Mahasiswa Progresif Universiti Malaya, Muhammad Ziyad Syahmi Ab Hamid berpendapat, insiden tersebut dilakukan tangan manusia.
“Ada yang berkata rakaman litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan anjing yang menyebabkan kucing-kucing itu mati, tapi kita sendiri boleh nilai perbezaan cara anjing membunuh kucing.
“Jika pemangsa (anjing) yang buat mesti lebih ngeri dan teruk berbeza jika dilakukan manusia namun tiada jawapan yang sahih haiwan atau manusia yang melakukannya.
“Kejadian sebelum ini ada dua ekor kucing perutnya dirobek, saya anggap mungkin pembunuh menukar cara membunuh daripada memotong kaki kepada merobek perut dan saya dengar kemungkinan mereka mati dilanggar oleh kenderaan, itu apa yang saya dengar dari rakan-rakan di UM sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) merangkap Presiden Suara Siswa, Abqari Annuar juga kurang bersetuju bahawa kematian kucing di UM disebabkan oleh anjing kerana ketiadaan rakaman litar tertutup (CCTV) untuk membuktikannya.
“Buat masa ini yang kami ketahui ada lima kes yang telah berlaku, kes pertama pada 25 November lalu di kawasan perpustaakan UM memang disebabkan oleh serangan anjing kerana ada bukti rakaman CCTV.
“Kes kedua pula adalah pada 12 Disember lalu tiada rakaman CCTV yang menunjukkan anjing menyerang kucing termasuklah kes-kes kematian kucing selepas itu.
“Kami ada melakukan rondaan pada pawal pagi 24 Disember, namun kami sahkan bahawa tiada kucing di kawasan fakulti kerana telah diselamatkan oleh sukarelawan dari ‘Hope For Strays’ dan beberapa lagi persatuan sukarelawan,” katanya ketika ditanya pemberita.
Menurut beliau tiada saksi yang melihat apa yang berlaku atau apa-apa perkara yang mencurigakan.
Jelasnya, KMUM telah memaklumkan perkara tersebut kepada pejabat keselamatan untuk memperketatkan kawalan masuk ke dalam kampus dan meningkatkan rondaan.
Tambahnya, pihak universiti juga bersetuju untuk memasang lebih banyak CCTV dan memperbanyakkan lagi lampu di sekitar UM. – MalaysiaGazette