Pemandangan sekitar bandar George Town.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak di negeri ini yang membuat bayaran cukai masing-masing mulai 2 Januari sehingga 28 Februari depan.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat yang berlangsung minggu lalu turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak yang membuat bayaran mulai 1 Mac sehingga 31 Mei depan.

“Kedua-dua insentif serta tawaran tersebut turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau pemilik petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak).

“Walau bagaimanapun, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.

“Tawaran ini juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuatkuasakan,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, terdapat 40,371 akaun cukai tanah dan cukai petak (67,537 akaun) tertunggak dengan nilai hampir RM40.1 juta

“Insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan negeri bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah serta cukai petak bagi tahun 2025 pada tempoh lebih awal.

“Selain itu, meringankan beban pemilik tanah serta pemilik petak yang memiliki tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.

“Sekiranya pemilik tanah dan pemilik petak tidak membuat bayaran cukai tanah serta cukai petak dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here