BATU PAHAT – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM4,000 terhadap seorang pekerja kebun kelapa sawit yang merakam dan menyimpan video lucah nenek dan ahli keluarganya.
Tertuduh yang berusia lelaki 23 tahun dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di sini pukul 11.15 malam pada 23 Disember lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubungan pautan digunakan tertuduh yang mana ada kaitan dengan video dan lucah dirakamnya.
Selepas menerima maklumat berkenaan, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama-sama ahli keluarga lain dan merampas telefon bimbit miliknya.
Pemeriksaan menemukan beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh.
Semua video dan gambar itu dirakam ketika mereka sedang mandi dan juga menyalin pakaian dalam bilik.
Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah itu mempunyai rakaman video dan gambar nenek, ibu saudara dan sepupuya.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).- MalaysiaGazette