KUALA LUMPUR – Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan Kerajaan Perpaduan telah mencerminkan peningkatan keyakinan dan sokongan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan beliau.
Malah, berdasarkan tinjauan pendapat, 54 peratus menunjukkan mereka berpuas hati berbanding 50 peratus pada tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Madani Research Centre, Mohd Azmi Mat Nayan.
Beliau berkata, peningkatan keyakinan rakyat Malaysia terhadap daya kemudi negara itu dilihat dengan ketara dalam prakarsa meningkatkan imej Malaysia dimana 59 peratus rakyat berpuas hati berbanding 32 peratus setahun lalu.
Ia ditambah dengan langkah menarik pelaburan asing yang mana 62 peratus berpuas hati berbanding 29 peratus sebelum ini dan meningkatkan kecekapan serta integriti perkhidmatan awam dengan 54 peratus berpuas hati berbanding sebaliknya, 35 peratus pada tahun lepas.
“Tinjauan pendapat yang sama juga menyaksikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau (Anwar) telah ikut serta meningkat kepada 51 peratus berbanding 46 peratus dalam jangka masa yang sama.
“Prestasi Kerajaan Perpaduan juga mengalami peningkatan konkrit dalam ruang lingkup penjanaan pertumbuhan ekonomi dan penanganan isu kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Azmi berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia dan semua parti politik berganding bahu Bersama Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dalam mengukuhkan perpaduan kebangsaan serta membina masa depan yang lebih Makmur, adil untuk semua rakyat Malaysia.
Katanya, ia boleh dicapai dengan mengurangkan pertikaian politik kepartian yang tidak perlu dan tidak membina supaya demokrasi Malaysia menjadi lebih sihat demi masa depan rakyat dan negara.
“Beri beliau (Anwar) dan kerajaan yang dipimpin beliau ruang dan masa untuk melaksanakan segala dasar, pembaharuan serta penambahbaikkan yang perlu bagi melonjakkan Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan pasak keadilan sosial yang kukuh serta merata.
“Ini semua tidak mungkin berlaku tanpa adanya kestabilan politik yang berpaksikan prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Masih banyak yang perlu dilakukan demi Malaysia tercinta,” tambahnya. – MalaysiaGazette