Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengendali aplikasi komunikasi, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di negara ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua platform itu dijangka memenuhi syarat yang diperlukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam masa terdekat.

“Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial,” katanya.

SKMM turut memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut.

Pada masa sama, agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember ini.

Kegagalan berbuat demikian katanya, boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil, walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.

Menurut SKMM, kerangka itu dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.

Ujarnya, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik dan perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.

“MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here