Gambar hiasan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warganegara Indonesia memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu bagi mendapatkan perisytiharan bahawa anak lelaki keduanya yang kini berusia 14 tahun adalah warganegara Malaysia.

Wanita berusia 40-an selaku pemohon itu memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan pada 23 Disember lalu dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Berdasarkan notis usul yang diperoleh media hari ini, wanita berkenaan merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 November yang menolak rayuannya.

Dalam permohonan kebenaran merayu, wanita berkenaan mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam pendengaran kelak.

Sementara itu, peguam A. Srimurugan mewakili wanita berkenaan ketika dihubungi wakil media mengesahkan perkara itu.

Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Malaysia pada 2000 dan memiliki dua anak lelaki yang lahir pada 2004 serta 2010.

Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai anak kepada suami wanita itu dan sijil kelahiran telah dikeluarkan kepada mereka.

Apabila anak kedua berumur 12 tahun, dia telah memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad) namun kesnya telah dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang persamaan fizikal dengan lelaki itu.

Semasa siasatan, lelaki terbabit mengaku bahawa remaja itu bukan anak kandungnya dan enggan melakukan ujian DNA yang menyebabkan sijil kelahiran dirampas manakala pengeluaran MyKad ditangguhkan kerana siasatan belum selesai.

Wanita itu kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi dan memohon perisytiharan bahawa anak lelakinya adalah warganegara Malaysia serta perintah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran selain mengeluarkan MyKad.

Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula wanita itu dan keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here