TIRANE, Albania – Kerajaan Albania mengumumkan larangan penggunaan aplikasi TikTok selama setahun berikutan kejadian pembunuhan seorang remaja bulan lalu yang menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh media sosial dalam kalangan golongan muda.
Perdana Menteri, Edi Rama berkata, langkah yang akan dikuatkuasakan awal tahun depan merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keselamatan di sekolah.
“Keputusan ini dibuat selepas pertemuan dengan ibu bapa dan guru.
“Selama setahun, kami akan menghentikan penggunaan TikTok sepenuhnya. Tiada TikTok di Albania,” katanya.
Jelas beliau, negara-negara Eropah lain seperti Perancis, Jerman, dan Belgium sebelum ini melaksanakan sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.
Australia pula mengambil pendekatan lebih ketat dengan melarang penggunaan media sosial sepenuhnya bagi individu bawah 16 tahun pada November lalu, ujar beliau.
“Keputusan ini diambil selepas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut akibat ditikam oleh rakan sekelasnya pada November lalu.
“Kejadian itu berpunca daripada pertengkaran di media sosial dengan video yang menyokong pembunuhan tersebut turut muncul di TikTok.
“Masalah hari ini bukan anak-anak kita, tetapi kita sendiri, masyarakat kita, dan TikTok serta platform lain yang menjadikan anak-anak kita tebusan,” ujarnya.
TikTok, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan sedang berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan Albania.
Menurut jurucakap TikTok, pihaknya tidak menemui bukti bahawa pelaku atau mangsa mempunyai akaun TikTok.
Tambahan pula, laporan menunjukkan video berkaitan insiden itu dimuat naik di platform lain. – Agensi