KUANTAN – “Kalau ikut panas hati tu, kita rasa kalau boleh bunuh, kita bunuh saja lembu tepi jalan ni.”
Begitu luahan geram seorang bapa yang kehilangan anak sulungnya akibat terlanggar seekor lembu di Felda Chini 5, dekat sini, sebulan lalu.
Shahrom Ningal, 47, bagaimanapun akur dan reda dengan ketentuan Ilahi dan yakin pihak berkuasa mampu mengatasi isu haiwan ternakan berkeliaran agar ia tidak berulang.
“Saya tak mahu berlaku lagi kejadian sebegini pada masa akan datang. Sebab isu ni bukan isu baru. Saya harap sangat kita dapat selesaikan atau atasi masalah ni.
“Nyawa yang telah pergi tetap sudah pergi. Yang akan datang kita tak tahu macam mana,” kata bapa kepada tujuh anak itu ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya, hari ini.

Shahrom berkata, anaknya Muhammad Daniel Haikal sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Bercerita mengenai kejadian malang pada 25 November itu, beliau berkata, anaknya pergi ke kedai serbaneka berhampiran dengan menaiki motosikal bersama rakan-rakannya sebelum seekor lembu bunting tiba-tiba melintas jalan.
Disebabkan ia berlaku secara mengejut, allahyarham Muhammad Daniel dan seorang lagi rakan yang menunggang motosikal lain tidak sempat mengelak dan melanggar lembu tersebut.
Kemalangan itu mengakibatkan Muhammad Daniel berada dalam keadaan kritikal dengan patah tangan, kaki dan cedera di bahagian tengkuk.
Difahamkan dia turut mengalami pendarahan dalaman dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak lama kemudian.
“Kalau ikutkan, sebelum kejadian itu ada sifat dia yang berlainan, tapi kita tak terfikir sehingga lah berlaku kejadian tu.
“Dia pernah menyebut hasrat nak balik ke rumah saya di Melaka, rumah nenek dia lah. Tapi saya tak tunaikan hajat tu sebab saya ada kerja. Dan saya fikir mungkin hujung tahun ni boleh bawa dia balik sana, cuma tak kesampaian.
“Dan dalam tempoh seminggu sebelum dia kemalangan juga, dia betul-betul rapat dengan adik beradik dia. Dia nak jumpa kawan-kawan dia yang pernah berselisih faham sebelum ni. Ada yang datang dan saling bermaafan,” katanya.
Sementara itu, isteri Shahrom, Siti Suhaima Sulaiman, 39, sesekali dilihat menyeka air mata dan menatap gambar anak sulungnya.
Bagaikan mimpi ngeri, katanya, beliau masih terbayang-bayang sifat ceria Muhammad Daniel seolah-olah dia masih ada. – MalaysiaGazette